Saturday, 11 January 2014

KUPAS BELAWAI TERBANG KE EROPAH

BELAWAI :  Suatu ketika dahulu penghasilan kupas atau sesar unjur Belawai hanya dilakukan secara kecil-kecilan sebagai alternatif sampingan untuk menambah pendapatan.

Bagaimana pun senario sebaliknya berlaku hari ini apabila sesar unjur Belawai bukan hanya   mendapat sambutan di kalangan penduduk tempatan tetapi sudah mula mencuri tumpuan pelanggan luar negara.

Pengerusi Persatuan Nelayan Belawai,  Tamrin Bustaman memberitahu, sejak kebelakangan ini kupas Belawai berjaya menarik perhatian pembeli asing yang kebanyakannya dari China dan eropah.
“Kebanyakan kupas Belawai dijual secara borong ke pasaran tempatan termasuk Sarikei dan Sibu. Pemborong-pemborong inilah yang mengedarkannya ke luar negara. 

“Berdasarkan respon, kita menerima maklumat ada antara kupas –kupas ini sudah memasuki pasaran asing dan mendapat permintaan berterusan daripada beberapa negara terutama China.
“Setakat ini, ia masih bergerak secara perlahan-lahan namun bagi kita ia satu permulaan yang baik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Tamrin berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menambah kualiti pengeluaran produk berkenaan di samping mencari peluang dan pasaran baru.

“Kita akan cuba untuk mendapatkan bantuan agensi –agensi berkaitan seperti MARDI. Kita ingin sekali mempelajari teknik-teknik terkini bagi mempelbagaikan lagi produk yang dihasilkan daripada sesar unjur ini,” katanya.
Menurutnya, MARDI menyediakan khidmat teknikal dan pembangunan usahawan dalam bidang makanan, pertanian dan khidmat lain yang kini amat diperlukan oleh penguasa kupas Belawai.
“Kami lebih teruja apabila mendapat tahu, nelayan dan usahawan yang menerima pakai teknologi MARDI berjaya menyumbang kemajuan sektor makanan, pertanian dan industri asas tani negara. Kami ingin menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata,  kerajaan sentiasa mendampingi nelayan Belawai dengan pelbagai program termasuk membantu mereka dari segi pembiayaan dan kursus dalam bidang berkaitan.
Setiap tahun katanya, kerajaan menyediakan sejumlah besar peruntukan untuk pelaksanaan pelbagai program demi memastikan nelayan di kawasan itu berupaya menjana pendapatan berterusan.
Ujarnya, usaha yang dibuat oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan perikanan misalnya, mampu mewujudkan nelayan berjaya dan inovatif serta mampu mentransformasikan minda yang lebih berdaya saing, mantap dan lebih kreatif.

“ Usaha berterusan kerajaan akan mendedahkan kami  tentang kaedah yang lebih berkesan dan berdaya maju.  Sekurang-kurangnya, kami tidak lagi terikat dengan kaedah lama sebaliknya sentiasa merebut peluang ekonomi dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya sambil menambah kupas Belawai kini dijual RM70 hingga RM80 sekilogram.

SEORANG penduduk, Aminah Tanjong menunjukkan kupas keluaran kampung Belawai.  

No comments:

Post a Comment