Sunday, 12 January 2014

Benteng RM2.3 juta elak hakisan Kampung Rajang

TANJUNG MANIS :  Lebih 800  penduduk  yang tinggal di sepanjang pantai Kampung Rajang yang kerap diancam hakisan   kini menarik nafas lega apabila kerja pembinaan benteng membabitkan peruntukan lebih RM2.3 juta siap dibina.

Penghulu Kampung Rajang, Arifin Aba  berkata, projek yang bermula 2005 itu dilakukan secara berperingkat-peringkat selepas  kerajaan meluluskan peruntukan berikutan kebimbangan penduduk yang terdedah kepada bahaya hakisan setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, kerja pembinaan benteng  yang menggunakan bongkah konkrit tersebut dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak dan siap sepenuhnya pada awal 2013.

Sebelum ini  ujarnya, penduduk  mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan bagi menjamin keselamatan penghuni di pesisiran pantai.

 “Justeru, pembinaan benteng ini membuktikan kerajaan dengar rintihan kami. Kini, kami boleh tidur lena dan berasa lebih selamat. Jika dahulu, kami sering kali dihantui ketakutan, ” katanya.

Menurut Arifin, sejak pembinaan benteng penahan ombak di pantai berkenaan dilakukan, masalah hakisan tersebut sudah berlalu.
Katanya, masalah hakisan sudah tidak berlaku menyebabkan pantai Rajang kembali menjadi tumpuan pengunjung terutama kepada pengemar batik dan kaki pancing.

“Kampung Rajang sebenarnya pernah pusat pentadbiran semasa zaman pemerintahan British.
“Antara bangunan koloni yang pernah wujud di sini ialah,  kompleks pentadbiran kerajaan, penjara, klinik kesihatan, perpusakaan, kilang, bangunan premis dan beberapa pusat riadah termasuk gelanggang tennis.


“Malangnya kesemua monumen itu, hanya tinggal nostalgia apabila sebahagian besarnya sudah musnah akibat hakisan,” katanya.

No comments:

Post a Comment