Saturday, 11 January 2014

BANA TUNJUK TARING

SEJAK penyertaan sulungnya pada 1980 di Sarikei hingga terakhirnya di Tanjung Manis  pada 2004,  Bana Muset, 70, tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Malah, datuk kepada lapan cucu  ini sememangnya cukup disegani lantaran kehebatannya dalam larian maraton terutama di wilayah tengah Sarawak.

Selepas berehat hampir lapan tahun, Bana sekali lagi mencipta kejutan apabila menjuarai acara  yang sama dengan mengenepikan cabaran lebih 60 peserta lain yang jauh lebih muda dalam pertandingan Maraton terbuka Tanjung Manis tahun lalu.

Begitu pun, pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) ini seakan-akan belum pernah puas dengan pencapaiannya apabila bakal terbang ke Kuala Lumpur, bagi menyahut cabaran Maraton KL  Standard Chartered baru-baru ini.

“Ini merupakan cabaran terbesar dan saya ingin mengharumkan nama Sarawak.  Juara bukan sasaran tetapi cukup sekadar melengkapkan  larian di sepanjang laluan 21 kilometer.  Apa yang paling penting ialah penyertaan dan saya berazam untuk memberikan yang terbaik untuk negeri ini, ” katanya.
Menurut Bana,  dia tidak menghadiri latihan secara intensif namun memadai sekadar joging keliling kampung untuk memanaskan badan pada setiap petang.
Meskipun  begitu katanya, beliau sentiasa menjaga pemakanannya selain tidak merokok bagi mengekalkan stemina.

“Kejohanan 30 Jun ini agak susah sedikit kerana saya terpaksa bersaing dengan pelari-pelari profesional yang jauh lebih hebat dan profesional. Apa-apa pun, kemenangan adalah  sangat penting.

 "Peluang yang diberikan memberikan satu semangat kepada saya untuk  meraih kejayaan dan saya berazam untuk memberikan aksi lebih baik," katanya.

Pada masa yang sama,  Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai turut mengambil  peluang memberikan dorongan dan motivasi kepada wakil tunggal Sarawak itu.


“Kita berharap Bana akan tampil cemerlang. Tunjukan kemampuan sebenar kita kepada orang luar. Saya gembira kerana semangat beliau  tinggi selain bersyukur kerana setakat ini, tidak berdepan dengan masalah kesihatan. Sehubungan itu, seluruh Sarawak akan mendoakan kejayaan Bana,” katanya.

No comments:

Post a Comment