Friday, 14 February 2014

Ketua Menteri untuk Semua

KUCHING: Bakal Ketua Menteri Sarawak yang kelima, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata beliau akan berlaku adil terhadap semua kaum dan rakyat Sarawak.

Beliau yang akan mengangkat sumpah untuk menjawat jawatan itu pada 28 Februari menggantikan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau adalah Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak.

“Jika anda Ketua Menteri, anda ialah Ketua Menteri Sarawak bukannya (khusus bagi) Melayu, Cina, Iban, Orang Ulu dan Bidayuh.

“Anda Ketua Menteri mereka semua termasuk mereka dalam pembangkang dan saya suka mereka melihat saya sebagai

Ketua Menteri walaupun berbeza politik,” ujarnya pada sidang media pertamanya selepas diumumkan Taib sebagai penggantinya di pejabatnya di Yayasan Sarawak di sini, semalam.

Adenan berkata, beliau gembira dan tersentuh hati apabila menerima banyak ucapan tahniah atas pemilihannya, apatah lagi apabila ia datang daripada semua kaum di Sarawak dan pelbagai lapisan masyarakat.

Adenan yang kini Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, beliau amat berterima kasih dengan keyakinan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Taib.

Malah, beliau turut lega apabila Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyatakan sokongan susulan pemilihannya.

Abang Johari dan Awang Tengah merupakan dua calon selain Adenan bagi menjawat jawatan Ketua Menteri.

Justeru, Adenan berkata, sokongan itu memberi petunjuk bahawa PBB dalam keadaan bersatu padu dan tidak wujud perpecahan di kalangan pemimpinnya.

“Ada orang luar suka melihat konflik dan perpecahan dalam parti, saya minta maaf kerana mengecewakan mereka,” katanya dalam nada sinis terhadap beberapa pihak yang didakwa gemar melihat PBB berpecah belah selepas Taib meletak jawatan.

Pada sidang media itu, beliau menafikan pemilihannya dilakukan atas dasar ikatan kekeluargaan yang pernah terjalin antara beliau dan Taib. Adenan pernah menjadi adik ipar Taib.

Meletakkan kesetiaan terhadap parti sebagai asas utama pemilihannya, Adenan berkata Abang Johari dan Awang Tengah juga setia.

Katanya, beliau dan Taib telah mengenali satu sama lain dan akrab sejak bersekolah di St Joseph, Kuching dan bertemu semula ketika melanjutkan pengajian di Universiti Adelaide, Australia meskipun tidak sama tahun.

Mengenai kabinet negeri, beliau berkata, tidak ada keperluan untuk merombak kabinet sedia ada apatah lagi kini berada di pertengahan penggal Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Benda yang baik tidak perlu ditukar. Kabinet yang ada sekarang berfungsi dengan baik sejak beberapa tahun,” ujarnya.

Menurutnya, sebelum PRN diadakan, masalah dalaman Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) harus diselesaikan. Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang akan tamat pada Jun 2016.

“Saya ada fikirkan cara untuk menyelesaikannya tetapi saya tak akan beritahu anda sekarang. Ia sudah menjadi tanggungjawab saya sekarang,” katanya yang kelihatan sihat dan ceria pada sidang media kira-kira 30 minit itu, sekali gus menafikan dakwaan beberapa pihak yang beliau mengalami masalah kesihatan.

Adenan berkata, dahulu beliau memang ada masalah kesihatan sehingga dimasukkan dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara, Pusat Pakar Perubatan Normah dan Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

“Saya berniat jika saya sembuh, saya akan menunaikan umrah sebagai tanda syukur kepada Tuhan,” jelasnya.

Beliau pada masa sama menjelaskan, kedatangan Muhyiddin ke Kuching mulai Rabu lepas bukan untuk memujuk Taib menukar keputusan memilih Adenan menggantikannya.

“Tidak ada asas untuk itu,” jawabnya ringkas.

Mengulas mengenai dakwaan kerajaan juga membazirkan wang kerana mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian sama seperti DUN Kajang di Selangor, Adenan berkata dua situasi itu adalah tidak sama.

Balingian akan dikosongkan susulan Taib dijangka akan dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri seterusnya menggantikan Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang tamat tempoh lantikan pada 28 Februari ini.

“Kerusi Balingian (akan) kosong sebab perlu berbuat demikian untuk membolehkan Taib dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.

“Kajang pula kosong semata-mata untuk memberi laluan kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Terdapat beza yang besar antara dua situasi itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment